Download

PEMBUKA PENA

Cari

IKLAN

KALAM MUJADDID




JOM IKUT DARI FACEBOOK!!!!!!!!

Jom jadi member!!!

Saturday, March 12, 2011

Hikmah Di Sebalik Sunnah Makan Secara Sederhana Dibuktikan Sains: Satu Analisa Berkaitan Indeks Glisemik


Sumber gambar: www.freephotos.com
Terdapat faedah kesihatan yang besar jika kita makan menurut kuantiti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Pertamanya, harus kita faham Islam tidak membenarkan untuk kita berlebih-lebihan dalam soal makan dan minum. Hal ini jelas tertera dalam firman Allah yang bermaksud:

"...Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan" (Al-Araaf: 31)

Kini mari kita renungi hadith berikut tentang sabda Rasulullah s.a.w berkaitan dengan topik yang akan dibincangkan pada kali ini.

Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

ما ملأ آدميّ وعاء شرّا من بطنه بحسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه فأن كان لا محالة فثلث لطعامه وثلث لشرابه وثلث لنفسه

Maksudnya: "Tidak ada kantung yang lebih buruk diisi oleh anak Adam selain perutnya sendiri. Cukuplah baginya beberapa suapan untuk menegakkan tulang punggungnya. Jika terpaksa, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk nafas (udara)." (HR Ahmad, Tirmidzi dan dia mensahihkannya, Ibnu Majah, Al-Hakim dan dia mensahihkannya serta disepakati oleh Adz-Zhahabi)

Jelas daripada dalil-dalil di atas bahawa jumlah makanan yang diperintahkan dalam Islam adalah tidak sampai diisi perut sampai penuh. Saya mendapati konsep diet ini sangat menarik kerana ia mempunyai kaitan dengan indeks glisemik. Apakah itu indeks glisemik dan apa kaitannya dengan kesihatan? Mari kita tinjau bersama-sama.

Memahami Indeks Glisemik (Glycemic Index, GI)

Indeks glisemik (GI) adalah satu ukuran tentang kesan pengambilan karbohidrat ke atas paras glukosa dalam darah. Maknanya, jika sesuatu makanan menyebabkan lebih banyak peningkatan paras glukosa dalam tubuh selepas ia dimakan, maka lagi tinggilah GI makanan tersebut.

Karbohidrat terkandung dalam pelbagai jenis makanan contohnya nasi, roti, kentang dan buah-buahan. Karbohidrat yang diserap akan ditukar menjadi glukosa. Lagi banyak glukosa diserap, lagi tinggilah paras glukosa dalam tubuh (GI lebih tinggi). GI yang tinggi tidak baik kerana ia boleh merangsang kenaikan hormon insulin. Insulin ini berfungsi untuk menggalakkan penyimpanan nutrien, seperti lemak, ke dalam tubuh. Lagi tinggi paras insulin, lagi banyaklah lemak yang boleh disimpan. Selain itu, glukosa yang berlebihan ini juga, jika ia tidak dibakar dalam bentuk tenaga, boleh ditukar sebagai lemak dan disimpan.

Mudah kata dengan lagi tinggi GI, maknanya lagi banyak glukosa diserap, lagi tinggi paras glukosa dalam tubuh, lagi tinggi kenaikan hormon insulin, akhirnya menyebabkan lebih banyak lemak akan disimpan.

Kaitan Antara Tahap Kekenyangan Dan Indeks Glisemik

Sivenpiper et al (1998) telah mengkaji kesan pengambilan kuantiti air terhadap indeks glisemik. Mereka mendapati bahawa jika lebih banyak air yang diminum selepas pengambilan gula (glukosa), paras indeks glisemik (GI) akan menjadi lebih tinggi.

Sebaliknya jika perut masih dibiarkan kosong tanpa diisi banyak air, perut akan dikosongkan dengan lebih perlahan, maka glukosa juga akan diserap dengan lebih perlahan menyebabkan kenaikan paras glukosa dalam tubuh menjadi tidak terlalu mendadak (maknanya, GI yang rendah).

Dalam erti kata lain, jika perut diisi dengan penuh, baik dengan air ataupun makanan, paras GI akan menjadi tinggi kerana perut mengosong dengan lebih cepat, lantas penghantaran gula pun menjadi cepat. Fenomena yang sebaliknya akan berlaku kerana perut yang masih ada ruang kosong menyebabkan pengosongan perut menjadi lebih perlahan dan ini menyebabkan seseorang memperoleh GI yang lebih rendah. Boleh faham?

Jelaslah bahawa tatacara makan Rasulullah ini, iaitu tidak sampai kenyang sepenuhnya, membolehkan seseorang memperoleh GI yang lebih rendah. Ini akan memberi kesan positif kepada tubuh badan dalam pelbagai aspek sepertimana telah disebutkan dalam pelbagai kajian sains.

Kerendahan Indeks Glisemik Membantu Dalam Rawatan Penyakit Metabolik

Banyak telah dikaji tentang indeks glisemik dan kaitannya dalam penyakit-penyakit metabolik. Kita selalu terfikir bahawa sebab utama kegemukan ialah banyak pengambilan lemak. Tetapi, puncanya bukan setakat itu. Makanan yang mengandungi indeks glisemik yang tinggi turut boleh menyumbang kepada kegemukan.

Sepertimana disimpulkan oleh Brand-Miller et al (2002) dalam American Journal of Clinical Nutrition, "Faster digestion and absorption and higher insulin responses after high-GI meals dictate differences in satiety and energy partitioning that, over the long term, favor expansion of fat stores" ("Pencernaan, penyerapan dan respon insulin yang lebih tinggi selepas makanan berindeks glisemik (GI) yang tinggi mengarahkan kepada ketidaksamarataan antara kekenyangan dan pembahagian tenaga dan ini menggalakkan penyimpanan lemak dalam tempoh masa panjang"). Pendek kata, pengambilan makanan dengan GI yang tinggi menyebabkan kenaikan hormon insulin berlebihan, dan ini menggalakkan proses penggemukan.

Kajian oleh Sondike et al (2000) mendapati pengambilan makanan rendah karbohidrat (juga rendah GI) membantu untuk mengurangkan berat badan bagi remaja yang terlebih berat badan. Banyak lagi kajian lain telah menunjukkan keberkesanan makanan rendah GI dalam membantu menurunkan berat badan.

Kalau anda tanya saya antara diet rendah lemak atau rendah GI, yang mana lebih baik untuk menjaga berat? Sebenarnya strategi paling asas ialah mengamalkan sunnah untuk tidak makan sampai kenyang, sebab dengan cara ini anda akan memperoleh diet yang rendah lemak dan rendah GI pada masa yang sama. Pengambilan kalori anda pula akan memadai dan insyaAllah dengan cara ini anda boleh mengawal berat badan.

Diet rendah GI juga membolehkan seseorang pesakit diabetes mengawal paras gulanya dengan lebih efektif. Ini membolehkannya menjalani kehidupan yang lebih sihat dan mengurangkan risiko untuk mendapat pelbagai komplikasi yang berkaitan.

Di Sebalik Perintah Ada Hikmahnya

Saya telah menjelaskan bagaimana makanan dengan kuantiti yang tidak mengenyangkan sepertimana diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w membolehkan seseorang mempunyai GI yang rendah. Dengan GI yang rendah, paras gula dan paras insulin dalam darah adalah stabil dan terkawal. Ini memberikan kesan yang positif kepada kesihatan tubuh, minda dan spiritual.

Setiap ibadah dan perintah itu pasti ada hikmahnya. Ibnu Taimiyyahrahimahullah menyatakan: "Setiap yang Allah perintahkan pasti ada hikmahnya, begitu pula yang Allah larang. Demikianlah yang diyakini oleh mazhab para fuqaha' kaum muslimin, para imam dan kaum muslimin di pelbagai sudut negeri. Ertinya di sini, tidak mungkin ada satu ibadah yang tidak ada hikmah di sebaliknya." (Majmu' al-Fatawa)

Mungkin banyak lagi hikmah tersembunyi yang tidak diketahui di sebalik setiap perintah Allah dan RasulNya. Lihatlah bagaimana hanya setelah ilmu sains berkembang ke tahap ini barulah hikmah di sebalik perintah cara makan sebegini nampak ketara. Diet sunnah ini (tidak sampai kenyang) kini makin diamalkan oleh masyarakat bukan Islam, sedangkan kita umat Islam sudah mengamalkannya sejak dahulu lagi.

Marilah kita sama-sama mengamalkan segala perintah Allah dan RasulNya. Niat kita adalah demi meraih redha Allah, kemudian mudah-mudahan hikmah disebalik segala perintah tersebut akan memberi manfaat kepada kita baik kita sedar mahupun tidak.

Wallahu a'lam.
Related Posts with Thumbnails
FIKRAH MUJADDID